MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya hadir sendiri di Dewan Rakyat untuk menjawab persoalan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Beliau berkata, perkara itu wajar dilakukan memandangkan Anwar sendiri yang membangkitkan isu berkenaan ketika berucap di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) yang lalu.
Abdul Hadi berkata, PM Anwar tidak seharusnya menyerahkan perkara itu kepada pihak lain untuk menjawab bagi pihaknya.
“Itu laporan je, laporan, pastu laporan ni patutnya bila Perdana Menteri berucap di Negeri Sembilan masa pilihan raya pastu dia suruh ke Parlimen dia sendiri patutnya hadir. Dia kena hadir, dia kena jawab. Dia tak boleh serah kepada orang lain, dia kena jawab sendiri.
“Keputusannya tak perlulah kalau Perdana Menteri tak ada.. Kena orang yang berkenaanlah jawab,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila, pada Jumaat.
Pada Selasa, wakil rakyat pembangkang memutuskan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan Laporan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat.
Keputusan wakil rakyat pembangkang itu dibuat selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Pemakluman untuk tidak menyertai sidang khas itu dibuat Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan dipersetujui oleh Johari.