KUALA LUMPUR: Pembangkang sepatutnya mengambil peluang untuk membahaskan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat, berbanding bertindak memboikot sesi berkenaan.
Menurut bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, isu yang melibatkan simpanan jutaan pendeposit Tabung Haji itu terlalu penting untuk diketepikan hanya kerana ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang khas berkenaan.
“Ini bukan perbahasan tentang Perdana Menteri. Ini tentang simpanan umat Islam dalam Tabung Haji.
“Kalau ada yang tak kena, bangun dan soal. Kalau tak setuju, bahas. Kalau kerajaan salah, hentam dengan fakta,” katanya menerusi hantaran di Instagram pada Selasa.
Beliau mengulas tindakan hampir semua Ahli Parlimen pembangkang yang keluar dewan selepas permintaan mereka untuk menangguhkan sidang khas berkaitan laporan RCI Tabung Haji ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Terdahulu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan peraturan mesyuarat dan meminta sidang ditangguhkan susulan ketiadaan Anwar yang tidak dapat menghadiri sesi penerangan laporan berkenaan.
Bagaimanapun, Johari memutuskan sidang diteruskan mengikut jadual dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyampaikan penerangan mengenai laporan tersebut.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, isu Tabung Haji melibatkan kepentingan rakyat pelbagai lapisan masyarakat yang menyimpan wang mereka bagi tujuan ibadah haji.
“Pakcik jual ikan di pasar ada akaun Tabung Haji. Atok penoreh getah di kampung ada akaun Tabung Haji. Makcik tukang cuci pun ada akaun Tabung Haji.
“Tak apa kalau tidak setuju, tetapi jangan sampai nampak macam tidak peduli,” katanya.
Beliau menegaskan perbahasan mengenai laporan RCI itu seharusnya menjadi platform untuk semua pihak meneliti dan mempersoalkan sebarang kelemahan yang dikenal pasti demi kepentingan pendeposit serta institusi Tabung Haji.