Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Pemulihan segera, hak penabung mesti dikembalikan tanpa kompromi - PH

[TB]_Logo Pakatan Harapan PH Tabung Haji TH_FILEPIC
PH berpandangan sekiranya wujud bukti penyelewengan atau salah guna kuasa, proses pendakwaan mengikut lunas undang-undang tidak boleh dielakkan sehingga pelaku menerima hukuman setimpal.
Advertisement

SEREMBAN: Usaha pemulihan segera perlu dilaksanakan kerajaan bukan sahaja bagi membersihkan imej Lembaga Tabung Haji (TH), malah mengembalikan hak penabung tanpa sebarang kompromi susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan agensi berkenaan.

Ketua Sekretariat Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Shafi Muhammad berkata siasatan menyeluruh serta tindakan undang-undang tegas wajib diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat demi mempertahankan amanah sembilan juta penabung yang meletakkan kepercayaan penuh kepada TH.

Beliau berkata sekiranya wujud bukti penyelewengan atau salah guna kuasa, proses pendakwaan mengikut lunas undang-undang tidak boleh dielakkan sehingga pelaku menerima hukuman setimpal.

"PH mengucapkan syabas kepada kerajaan berikutan pendedahan RCI Tabung Haji yang menunjukkan dengan jelas komitmen berterusan kerajaan berkaitan kepentingan tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan ketelusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memulihkan pengurusan TH, dengan 75 peratus daripada syor RCI kini telah dilaksanakan.

“Ini membawa kesan terkini dengan aset melebihi liabiliti dan pemberian dividen sebanyak 3.5 peratus pada 2025. Keputusan penting yang lain adalah ahli politik tidak lagi boleh terlibat dalam Tabung Haji dan semua anak syarikatnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan diseru berusaha memperkukuh tadbir urus dan memperkemas unit pengawasan bebas agar sejarah hitam berkenaan tidak berulang.

“Ini sebagai peringatan keras bahawa titik peluh dan usaha keras pendeposit yang terdiri daripada orang Islam dan Melayu adalah amanah yang tidak boleh dipermainkan,” katanya.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil semalam berkata Jemaah Menteri bersetuju bahawa Laporan RCI mengenai TH dari 2014 hingga 2020 akan dibuat pengelasan semula dan didedahkan kepada umum.

Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH itu diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) malam tadi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement