Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Pentadbiran institusi perlu bebas campur tangan politik - Pakar

Sumber: BERNAMA
Perbahasan di Dewan Rakyat perlu dimanfaatkan secara konstruktif dan berasaskan fakta bagi memulihkan keyakinan rakyat, bukannya dijadikan medan polemik politik yang boleh menimbulkan keraguan tidak berasas. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) di Parlimen esok wajar memberikan tumpuan kepada usaha bagi memastikan tiada penglibatan atau campur tangan politik dalam pentadbiran institusi itu.

Pengarah Program MBA Putra Business School Profesor Ahmed Razman Abdul Latiff berkata langkah itu penting bagi memastikan pengurusan TH kekal diterajui golongan profesional berintegriti serta bebas daripada kepentingan peribadi atau kepartian.

Beliau berkata dapatan RCI berhubung isu kerugian, pemberian bonus yang tidak wajar, konflik kepentingan dan pelaburan yang mengalami kerugian perlu dijadikan pengajaran untuk memperkukuh kawalan dalaman serta tadbir urus korporat TH.

"Apa yang penting sebenarnya ialah memastikan pihak pengurusan ini kekal terdiri daripada mereka yang profesional, tiada lagi lantikan politik dalam lembaga pengarah dan tidak ada campur tangan daripada mana-mana pihak atas kepentingan peribadi atau parti.

“Ini yang kita harapkan dalam perbincangan di Parlimen kelak supaya segala usaha reformasi ini dipaparkan secara jelas dan telus kepada rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu dalam talian program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV bertajuk RCI Tabung Haji: Memelihara Amanah Pendeposit hari ini.

Ahmed Razman berkata perbahasan di Dewan Rakyat juga perlu dimanfaatkan secara konstruktif dan berasaskan fakta bagi memulihkan keyakinan rakyat, bukannya dijadikan medan polemik politik yang boleh menimbulkan keraguan tidak berasas.

Beliau berkata sekiranya terdapat keperluan untuk tindakan susulan terhadap individu yang dikenal pasti bertanggungjawab sepanjang tempoh siasatan RCI, perkara itu perlu dilaksanakan secara telus dan terbuka.

“Mungkin akan ada siasatan seterusnya terhadap individu berkenaan dan kita berharap ia dijalankan secara telus dan terbuka supaya tidak timbul persepsi ada pihak yang terlepas atau diberikan layanan istimewa (preferential treatment) termasuk apabila hanya individu tertentu dikenakan tindakan,” katanya. 

Mengulas mengenai kebimbangan awam berhubung laporan RCI itu, Ahmed Razman berkata para pendeposit tidak perlu panik kerana simpanan dalam TH dijamin sepenuhnya oleh kerajaan di bawah peruntukan undang-undang, berbeza dengan had jaminan di bank-bank komersial.

Beliau berkata komitmen TH yang telah berjaya melaksanakan lebih 75 peratus daripada syor penambahbaikan RCI membuktikan bahawa institusi pengurusan dana Islam itu kini berada pada landasan pemulihan yang tepat dan kukuh.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan RCI itu akan berlangsung esok, yang dijadualkan dimulakan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, diikuti sesi pertanyaan dan perbahasan oleh ahli Parlimen.

Sesi perbahasan itu kemudian dijangka digulung oleh Zulkifli dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement