KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mengkritik tindakan sebahagian blok pembangkang yang bertindak keluar Dewan Rakyat ketika persidangan khas membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Syahredzan berkata, tindakan itu mengecewakan kerana perbahasan berkenaan merupakan peluang kepada semua Ahli Parlimen untuk membincangkan isu mustahak melibatkan hampir 10 juta pendeposit Tabung Haji.
Menurutnya, blok pembangkang sebelum ini antara pihak yang mendesak supaya RCI berkenaan diwujudkan, namun memilih untuk tidak mengambil bahagian ketika laporan itu dibahaskan di Dewan Rakyat.
“Saya kecewa dengan apa yang berlaku hari ini, kita lihat blok pembangkang, khususnya daripada Pas dan Wawasan telah bertindak tidak melibatkan diri dalam perbahasan RCI Tabung Haji ini... mereka memilih bermain politik.
“Alasan untuk menangguhkan perbahasan sehingga Perdana Menteri sihat juga tidak berasas kerana persoalan dibangkitkan boleh dijawab oleh menteri yang dipertanggungjawabkan.
"Rakyat wajar menilai sendiri tindakan pembangkang yang memilih untuk memboikot perbahasan berkenaan. Mereka mengambil enteng isu ini, sehingga boleh diminta tunda dan tangguh,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, pada Selasa.
Tambah Syahredzan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan sudah memberikan penjelasan dan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan juga akan membuat penggulungan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, Dewan Rakyat sepatutnya menjadi ruang untuk semua pihak membangkitkan sebarang keresahan atau persoalan berhubung laporan RCI Tabung Haji.
Katanya, sekiranya terdapat perkara yang dianggap tidak betul dilakukan kerajaan, pembangkang mempunyai ruang untuk mencabar dan mengemukakan hujah, namun ia perlu berasaskan fakta.
“Kalaulah ada permasalahan yang hendak dikemukakan tentang laporan RCI Tabung Haji ini, di sinilah waktunya untuk hujah, untuk bangkitkan apa-apa keresahan.
“Kalau rasa kerajaan membuat sesuatu perkara yang tak betul, tidak ada masalah untuk dicabar, tetapi guna fakta, jangan guna tohmahan,” katanya.
Dalam pada itu, Syerleena turut memuji beberapa Ahli Parlimen pembangkang antaranya daripada Bersatu yang kekal dalam Dewan Rakyat untuk menyertai perbahasan.
"Ini contoh budaya politik yang sihat dan matang, khususnya dalam membincangkan isu yang memberi kesan kepada umat Islam serta pendeposit Tabung Haji," jelasnya.