Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Rashid nafi dakwaan Madinah tidak dipanggil beri keterangan

BANGI, 3 Sept - Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Abdul Rashid Hussain bercakap pada sidang media selepas Sesi Dialog Ummah bertemakan "Pencapaian dan Strategi Masa Depan " di Tenera Hotel & Suite, Bangi hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Abdul Rashid (foto) menjelaskan suruhanjaya itu sebenarnya telah mengeluarkan sepina kepada Madinah untuk hadir memberi keterangan. -Foto Bernama
Advertisement

BANGI: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain, menafikan dakwaan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, bahawa beliau tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan kedudukan kewangan institusi itu.

Abdul Rashid menjelaskan suruhanjaya itu sebenarnya telah mengeluarkan sepina kepada Madinah untuk hadir memberi keterangan.

Beliau berkata Madinah diminta hadir di hadapan RCI pada 3 Jun 2022, namun memohon untuk memberikan keterangan bersama-sama Timbalan Pengarah Audit Kewangan ketika itu, Mona Osman.

“Untuk rekod, Madinah telah diberikan sepina dan diminta hadir di hadapan RCI pada 3 Jun 2022.

“Beliau meminta untuk hadir bersama Puan Mona Osman, Timbalan Pengarah Audit Kewangan ketika itu.

"Bagaimanapun, mengikut tatacara prosiding RCI, kita meneliti keterangan saksi secara berasingan dan atas dasar itu permintaan tersebut tidak dibenarkan,” katanya dalam sesi forum Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji, pada Khamis.

Abdul Rashid berkata walaupun Madinah tidak dibenarkan memberi keterangan bersama Mona, RCI telah memberi peluang kepadanya untuk menjawab secara bertulis kesemua 75 soalan yang dikemukakan suruhanjaya itu.

“Untuk rekod sekali lagi, mungkin beliau terlupa bahawa kita telah memberikan peluang untuk mengemukakan jawapan bertulis terhadap soalan-soalan kita, yang kesemuanya berjumlah 75 soalan.

“Beliau mengemukakannya melalui akuan berkanun dan ia direkodkan dalam rekod kita sebagai pernyataan saksi. Beliau menyerahkan pernyataan bertulis itu pada 1 April 2022,” katanya.

Sebelum ini, Madinah dilaporkan berkata beliau tidak dipanggil oleh RCI walaupun bersedia untuk memberikan keterangan.

Beliau yang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019 mendakwa sudah berada di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika prosiding RCI TH berlangsung, namun namanya tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

Must Watch Video

Advertisement