Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Syed Saddiq gesa tubuh pasukan khas siasat 14 pelaburan bermasalah

RTM
Syed Saddiq mendesak penubuhan pasukan petugas khas pelbagai agensi untuk menyiasat semua 14 pelaburan yang telah terbukti bermasalah.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menubuhkan pasukan petugas pelbagai agensi bagi menyiasat 14 pelaburan bermasalah yang disenaraikan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH).

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, siasatan tidak seharusnya bergantung kepada satu agensi penguatkuasaan sahaja.

Sebaliknya, beliau mencadangkan pasukan itu melibatkan beberapa agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kerajaan perlu mengumumkan penubuhan multi-agency task force untuk siasat setiap satu daripada 14 pelaburan yang telah terbukti bermasalah,” katanya ketika berbahas pada Persidangan Khas Dewan Rakyat hari ini.

Syed Saddiq berkata laporan RCI turut mengesyorkan proses audit forensik terhadap pelaburan bermasalah bagi mengenal pasti punca serta kemungkinan berlaku penyelewengan.

Beliau turut membangkitkan risiko sistemik apabila masalah urus tadbir atau kegagalan pelaburan dalam sesebuah syarikat atau institusi berkaitan kerajaan boleh memberi kesan kepada entiti lain.

Menurutnya, keadaan itu akhirnya berisiko menyebabkan kerugian terpaksa ditanggung pembayar cukai sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Dalam masa sama, Syed Saddiq turut mendesak kerajaan memastikan komitmen kewangan berkaitan pelan pemulihan TH ditunaikan dan bukan sekadar menunjukkan institusi itu telah diselamatkan di atas kertas.

“Kalau kamu (kerajaan) tak tunaikan tanggungjawab tersebut, you are merely transferring the problem daripada satu generasi ke generasi yang akan datang, daripada satu kerajaan ke kerajaan yang lain,” katanya.

Syed Saddiq pada akhir perbahasannya menegaskan tindakan terhadap sebarang salah laku perlu dibuat secara konsisten tanpa mengambil kira sama ada individu yang terlibat merupakan sekutu atau lawan politik.

“Jangan ambil tindakan hanya kerana mereka kawan kita, esok lawan, kita ambil tindakan. Bila kawan, tak ambil tindakan.

“Tak kisah dia kawan atau lawan. Kerana realitinya, ini bukan tentang saya atau kamu, bukan tentang kawan atau lawan. Ini tentang hak lebih 10 juta pendeposit dan hak umat Islam di Malaysia,” katanya lagi.


 

Must Watch Video

Advertisement