LINGGI: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan tiada sebab untuk UMNO berasa bimbang dengan keputusan kerajaan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) kepada umum.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, walaupun terdapat pihak yang mempersoalkan masa pendedahan laporan berkenaan, perkara itu tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan kerana penubuhan RCI sendiri diputuskan hasil persetujuan Mesyuarat Kerja Majlis Tertinggi (MKT) UMNO.
“Mungkin ramai yang suspicious tentang timing itu. Tetapi saya rasa tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan.
“UMNO sendiri yang bersetuju dalam Mesyuarat MKT supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat apa yang berlaku di Tabung Haji,” katanya semasa ditemui ketika bersama calon Barisan Nasional (BN) DUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli, di sini, pada Khamis.
Tambahnya, fungsi RCI adalah menjalankan siasatan serta mengemukakan syor kepada kerajaan, bukannya mengambil tindakan terhadap mana-mana individu.
“Setakat (di peringkat) kerajaan, setakat itu sahaja. Sebab biasanya RCI ini tidak ada kuasa daripada segi nak ambil tindakan kepada sesiapa.
“Tapi RCI ni, dia memberikan cadangan kepada kerajaan apa yang perlu dilakukan, jadi saya kira semalam Kabinet dah memutuskan bahawa RCI ini akan didedahkan dan rakyat boleh tahu secara direct,” katanya lagi.
Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Sidang Khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 11 Ogos ini bagi membahaskan RCI berhubung pengurusan TH.
Ujarnya, sidang khas itu akan bermula pada pukul 10 pagi dan berlangsung sehingga selesai.
Jelas beliau, cadangan untuk mengadakan sidang khas berkenaan juga telah dipersetujui oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.