Keterangan yang dibuat bekas menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kenyataan yang tidak boleh disangkal berhubung kerugian yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) akibat urus niaga matawang asing pada ketika itu.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat mempertahankan bekas 'anak buahnya' sewaktu pentadbiran beliau.

Dr Mahathir menegaskan Anwar membuat laporan berdasarkan apa yang ditunjukkan audit Bank Negara kepadanya.

"Dia beritahu apa yang dilaporkan. Takkanlah dia nak persoal dan (buat) sangkaan ada orang curi duit.

"Dia buat kenyataan mengikut apa yang disahkan audit, itu sahaja," katanya.

BACA: RCI: Kerugian BNM hanya RM5.7 bilion - Anwar Ibrahim


Beliau mengulas pertikaman lidah antara Anwar dan pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tercetus ketika Ketua Umum PKR itu memberi keterangan.

Sidek berkata Anwar selaku menteri kewangan ketika itu tahu jumlah kerugian sebenar, tetapi menyembunyikannya daripada kabinet.

Beliau berkata kabinet hanya dimaklumkan kerugian sebanyak RM5.7 bilion.