KUALA NERUS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam kenyataan 12 individu, bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kesemua individu yang dipanggil setakat ini, merupakan daripada Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan syarikat swasta, yang dikatakan terlibat dengan perlombongan REE tersebut.

"Setakat ini masih belum ada orang politik yang dipanggil untuk memberi keterangan... Sesiapa saja akan dipanggil untuk bagi keterangan, mana yang difikirkan perlu, mungkin cepat atau lambat sahaja.

"Nak siasat bukan boleh terjah sahaja, kena buat pengesahan dan panggil saksi berkenaan, kena pastikan hal berkaitan prosedur untuk luluskan pengeluaran REE... Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pun akan dipanggil, sebab dia yang sain surat yang tular itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sini, hari ini.

Azam berkata pihaknya juga sedang mengesan beberapa saksi dari China, yang dikatakan membuat pelaburan dalam perlombongan REE tersebut untuk turut membantu siasatan.

"Pegawai penyiasat sedang menyiasat (kesan saksi dari luar negara)," katanya.

Mengulas dakwaan SPRM ditekan oleh pihak tertentu pihak supaya mempercepatkan siasatan kes REE susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir, Azam menyangkal kenyataan tersebut dan menegaskan perkara itu hanya kebetulan berlaku dalam tempoh ini.

"Tiada siapa menekan kami, ini cuma secara kebetulan. Sama ada kerana PRN atau tidak, ia bukan masalah... SPRM dalam hal berkaitan apa juga isu rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan, yang ada merit untuk siasat, kita siasat," katanya.

Semalam seorang pegawai kanan MBI Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat, ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan REE di Kedah.

Sumber SPRM berkata kedua-dua suspek yang berusia 63, dan 40 tahun itu, direman tiga hari hingga 21 Julai selepas ditahan semalam di sekitar Alor Setar, Kedah serta ibu negara.

Menurut sumber syarikat terbabit dipercayai telah menjalankan aktiviti perlombongan itu secara haram sejak 2020, dan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu.

-- BERNAMA