KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mendapat galakan daripada langkah kerajaan untuk menurunkan harga simen bagi pemaju membina rumah mampu milik yang berharga RM300,000 ke bawah.

Presidennya Datuk NK Tong berkata usaha kerajaan itu merupakan langkah positif yang amat dialu-alukan oleh mereka yang masih tidak mampu memiliki rumah.

"Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang responsif, dihormati, bertanggungjawab dan relevan, REHDA akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan semua penjimatan yang diperoleh daripada penurunan harga simen akan disalurkan kepada rakyat," katanya kepada Bernama.

Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan inisiatif itu berkata, langkah tersebut akan memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40 kerana ia boleh mengurangkan maksimum sehingga RM5,000 untuk setiap harga rumah bergantung kepada jenis dan harganya.

Sementara itu, Tong berpendapat sudah tiba masanya pemain industri yang berkaitan menawarkan inisiatif dalam usaha menjadikan perumahan lebih mampu milik.

"Kami bukan sahaja memerlukan sokongan dari segi harga bahan yang lebih berpatutan dan perkhidmatan berkaitan, tetapi juga (sokongan) daripada institusi kewangan," kata Tong.

Sebagai contoh, REHDA percaya sekiranya bank menawarkan kadar istimewa dan/atau rancangan kewangan untuk pembinaan dan pembelian rumah mampu milik, ini akan membawa kepada lebih banyak penjimatan bagi rakyat Malaysia yang tidak dapat membeli rumah.

Bagaimanapun, untuk menjadikan semua perumahan benar-benar mampu milik, Tong berkata situasi yang ideal ialah kerajaan mengambil alih sepenuhnya dalam penyediaan rumah mampu milik, seperti keadaan sebelum 1970-an apabila tiada rumah mampu milik atau perumahan kos rendah dilaksanakan oleh pemaju.

Ini akan membantu pemaju untuk tidak menaikkan harga rumah yang berharga tetap bagi memberi subsidi silang kepada unit mampu milik, katanya.

Kerajaan juga katanya, akan dapat menggunakan pengetahuan dan maklumat daripada pelbagai agensinya bagi memastikan jenis rumah mampu milik yang betul dibina di lokasi yang betul, katanya.

"Bagaimanapun, memandangkan tawaran itu memberi manfaat khusus kepada kumpulan berpendapatan B40 dan M40, ia tidak akan menjejaskan industri pembinaan secara amnya," kata beliau.

Justeru beliau berharap semua harga bahan binaan akan kekal stabil.

Ini bersamaan insentif 29.3 peratus daripada pembekal simen, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nga berkata nilai satu juta tan simen akan ditukar kepada 20 juta beg simen standard 50 kg, mencukupi untuk pembinaan 24,000 unit rumah mampu milik.

Satu beg simen berharga RM22.50 pada masa ini dan harganya berkurangan sebanyak 22.2 peratus kepada RM17.50.

Sebanyak 20 juta beg simen akan dibekalkan secara berperingkat kepada pemaju perumahan swasta yang membina unit mampu milik untuk tempoh maksimum empat tahun sehingga 30 Jun, 2028.

-- BERNAMA