Skip to main content

Malaysia

Reka bentuk stesen ECRL tonjol identiti warisan setempat- Loke

KUALA LUMPUR, 14 Ogos -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke (dua,kanan) bergambar selepas Majlis Peluncuran Comprehensive Inspection Train (CIT) Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan SIT dan FFR Projek ECRL di ECRL Gombak Station hari ini.  Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (kanan) dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah (kiri).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Loke (dua, kanan) bergambar selepas Majlis Peluncuran Comprehensive Inspection Train (CIT) Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan SIT dan FFR Projek ECRL di ECRL Gombak Station hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

GOMBAK: Setiap stesen utama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) direka dengan keunikan tersendiri berasaskan warisan seni bina, sejarah dan budaya negeri masing-masing, menjadikannya bukan sekadar kemudahan pengangkutan moden malah cerminan identiti tempatan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pendekatan itu dapat memastikan pembangunan ECRL turut mengetengahkan keunikan budaya dan warisan masyarakat di sepanjang laluannya.

“Sebagai contoh, Stesen ECRL Kota Bharu di Bandar Batu Tunjong menampilkan konsep seni bina tradisional ‘Rumah Meleh Melayu’ dengan elemen corak ‘Bunga Ketam Guri’ sekali gus mengekalkan keunikan budaya Kelantan dalam pembangunan moden.

“Reka bentuk Stesen Kuala Terengganu pula diinspirasikan daripada gabungan elemen pergerakan ‘Perahu dan Ombak,’ melambangkan identiti maritim Terengganu, inspirasi bertepatan dengan reputasinya yang terkenal dengan warisan pembuatan perahu kayu secara tradisional diukir menggunakan tangan, iaitu seni warisan kebanggaan masyarakat setempat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran Comprehensive Inspection Train (CIT), Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan Ujian Integrasi Sistem (SIT) (ENG: System Integration Testing dan Fault-Free Run(FFR) Projek ECRL di Stesen Terminal Bersepadu Gombak di sini hari ini.

Loke berkata reka bentuk Stesen KotaSAS pula diinspirasikan daripada jata negeri Pahang yang menampilkan elemen ‘Gading Gajah’, manakala Stesen Terminal Bersepadu Gombak mengambil inspirasi daripada Permatang Kuarza Gombak Selangor, formasi batu kuarza sepanjang kira-kira 14 kilometer.

Beliau berkata konsep geometri Stesen Terminal Bersepadu Gombak diterjemahkan daripada bentuk benteng kuarza sebagai lambang keindahan semula jadi yang kekal, manakala pembinaannya di kawasan seluas 9.96 hektar kini mencapai 98.96 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada September ini selepas dibangunkan dalam tempoh 26 bulan.

Loke berkata kemajuan keseluruhan ECRL Fasa 1 menghubungkan Kota Bharu dan Gombak pula mencapai 95.08 peratus setakat Julai.

“Dengan tahap kemajuan Projek ECRL yang meyakinkan, saya percaya penantian rakyat untuk menikmati perkhidmatan ECRL akan menjadi kenyataan seperti dijadualkan, dan warga Pantai Timur boleh pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman dengan menaiki ECRL tahun depan,” katanya.

Projek ECRL kini memasuki fasa ujian dan pentauliahan menerusi SIT dan FFR bagi jajaran Kota Bharu-Gombak, sebagai persediaan ke arah pengoperasian komersial yang disasarkan bermula Disember ini, lebih awal berbanding sasaran asal Januari depan.

Sementara itu, Presiden China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Zhang Bingnan berkata Permulaan SIT dan FFR menandakan satu langkah penting ke arah penyiapan projek, penyerahan dan pengoperasian ECRL yang lancar. 

Beliau berkata pihaknya akan terus memacu kemajuan Projek ECRL dengan mengutamakan standard, kualiti dan kecekapan tinggi bagi merealisasikan sebuah sistem kereta api yang mampu bertahan untuk jangka masa panjang serta membawa kemakmuran, kesejahteraan dan hubungan persahabatan berkekalan kepada komuniti di sepanjang jajarannya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement