KEMAMAN: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun sempat memandu sebuah kereta sejauh 10 kilometer sebelum ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Hanyan Ramlan berkata remaja yang tidak mempuyai lesen itu ditahan kira-kira jam 5.15 petang pada Khamis.

Katanya pelajar Tingkat Satu yang memandu kereta jenis Proton Saga itu dikesan memandu melulu dan berbahaya dari kilometer 155 hingga kilometer 157 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.

Jelasnya remaja terbabit juga tidak mengendahkan arahan polis supaya memberhentikan kenderaan malah terus memecut melarikan diri.

Beliau berkata pemandu serta empat penumpang itu kemudiannya ditahan ketika berhenti di hadapan sebuah dobi layan diri di Chukai, Kemaman.

Susulan kes berkenaan sebanyak enam saman telah dikeluarkan terhadap remaja berkenaan dan turut menyita kenderaan yang dipandunya manakala kesemua penumpang telah dibebaskan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Hanyan berkata pihaknya juga akan memanggil ibu bapa remaja itu bagi mengambil keterangan dan saman juga akan dikenakan terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan orang yang tiada lesen memandu.