NATIONAL
Remaja didakwa memandu berbahaya, sebabkan kematian lima individu

Remaja berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan memandu kereta di bawah umur. -Bernama
KUCHING: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara bahaya hingga menyebabkan kematian lima individu dalam kemalangan di Jalan Stutong Baru, awal tahun ini.
Ringkasan AI
- Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan: memandu secara bahaya hingga menyebabkan kematian lima individu dan memandu tanpa lesen kerana masih di bawah umur.
- Mahkamah menetapkan 17 Jun untuk sebutan semula kes selepas menerima laporan akhlak, dan membenarkan jaminan RM5,000 dengan ibu bapa sebagai penjamin.
- Bapa remaja itu turut mengaku bersalah kerana membenarkan anaknya memandu tanpa pengawasan dan dijatuhkan hukuman denda RM15,000 serta diarahkan menjalani kerja kemasyarakatan selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.
Mahkamah turut membenarkan remaja itu diikat jamin RM5,000 dengan ibu bapanya sebagai penjamin.
Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan dan Seksyen 39(1) APJ 1987 kerana memandu kenderaan semasa berumur kurang daripada 16 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji manakala remaja itu tidak diwakili peguam.
Dalam kemalangan pada 14 Jan lepas, kereta dipandu remaja berkenaan telah hilang kawalan dan merempuh dua kenderaan serta dua motosikal.
Akibat kemalangan itu, empat individu meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi ketika menerima rawatan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, bapa remaja itu berusia 35 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membenarkan anaknya memandu tanpa pengawasan.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Kuching Noraini Ahmad kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh juga diarah menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami