KOTA TINGGI: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di simpang tiga Taman Anggerik di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian melibatkan motosikal jenis Yamaha Skuter Ego dan Kawasaki KR150 itu, kira-kira 9.05 malam.
Beliau berkata mangsa, pembonceng skuter cedera parah pada bahagian kepala dan badan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan.
“Manakala penunggang kedua-dua motosikal berusia 15 (skuter) dan 26 tahun itu pula, mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata mayat telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur dan kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini, boleh tampil menyalurkannya di bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah di sini bagi membantu siasatan,” katanya.
-- BERNAMA