SEPANG: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan merogol pelajar perempuan berusia 16 tahun, dua tahun lalu.

Tertuduh yang juga berusia 16 tahun, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Persiaran Bestari di sini, pada November 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos depan untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dalam kes ini pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zaharah Jaafar sementara tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), CH Low. - Sinar Harian