Kegembiraan dua remaja lelaki berusia 16 tahun dapat berkelah di Air Terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur di sini berakhir dengan tragedi apabila mereka lemas ketika mandi-manda di kawasan air terjun itu.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari Selasa, Muhammad Arif Haikal Amran dari Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus dan Muhammad Hafiz Asran dari Kampung Pak Tuyu, Kuala Terengganu dikatakan datang ke situ bersama 13 rakan mereka bersempena cuti sekolah.

Difahamkan sebelum kejadian, Muhammad Hafiz telah terjun dari kawasan yang agak tinggi di situ sebelum dilihat terkapai-kapai lemas.

Muhammad Arif Haikal kemudiannya cuba membantu dengan terjun ke dalam air tetapi turut lemas dan dihanyutkan air.

Berikutan itu, rakan mangsa yang lain bergegas mendapatkan pertolongan daripada orang awam dan orang kampung dan gerakan mencari serta menyelamatkan kedua-dua mangsa dimulakan dengan segera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah, Jasrawi Awang berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 2.40 petang.

Susulan itu, sepasukan anggota seramai enam orang dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat.

"Ketika sampai di lokasi, kami dapati kedua-dua mangsa telah meninggal dunia dan ditemui oleh orang awam. Mayat mangsa pertama ditemui kira-kira 2 petang manakala mangsa kedua lima minit selepas itu.

"Mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

-- BERNAMA