Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Remaja Myanmar masih dalam tahanan, tidak dihantar pulang semalam - KP Imigresen

61742884949_ZakariaShaaban.jpg
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata hasil semakan mendapati remaja berkenaan masih berada dalam tahanan di Depot Imigresen. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) hari ini menafikan dakwaan tular bahawa seorang remaja perempuan warga Myanmar telah dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Penghantaran Pulang, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata hasil semakan mendapati remaja berkenaan masih berada dalam tahanan di Depot Imigresen.

Beliau berkata individu itu juga tidak terlibat dalam Program Penghantaran Pulang warga Myanmar menggunakan kapal tentera Myanmar pada tarikh berkenaan.

"JIM memandang serius dakwaan dalam hantaran yang tular di media sosial berhubung seorang remaja perempuan warga Myanmar yang dikatakan telah dihantar pulang ke negara asalnya menerusi Program Penghantaran Pulang.

"Berdasarkan hasil semakan, JIM mengesahkan bahawa individu berkenaan masih berada dalam tahanan di Depot Imigresen dan tidak terlibat dalam Program Penghantaran Pulang warga Myanmar melalui kapal tentera Myanmar pada 29 Sept 2026," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata JIM mengambil perhatian terhadap kebimbangan yang dibangkitkan, khususnya berkaitan aspek keselamatan dan kebajikan tahanan.

Beliau berkata dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang imigresen, jabatan itu turut memberi perhatian terhadap pertimbangan kemanusiaan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan prosedur berkuat kuasa.

Zakaria berkata pengurusan depot imigresen dilaksanakan mengikut ketetapan dan piawaian antarabangsa termasuk United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners atau The Nelson Mandela Rules.

"Selain itu, kawalan dalaman juga dilaksanakan melalui peruntukan di dalam Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 dan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen dengan mengambil kira prinsip layanan berperikemanusiaan," katanya.

Dalam pada itu, JIM menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan mengenai tindakan serta proses dilaksanakan jabatan berkenaan.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement