Skip to main content

Malaysia

Remaja perempuan hidap skoliosis perlu RM10,000 jalani pembedahan

Caption IPOH, 14 Julai -- Bapa, Reduan Saad, 41, menerangkan tentang keadaan kesihatan anak perempuannya, Arissa El Zahra Reduan, 13, yang memerlukan bantuan sebanyak RM10,000 bagi membolehkan anaknya menjalani pembedahan skoliosis pada 8 Sept di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) ketika ditemui di Taman Utama Bercham hari ini.  Beliau berkata, dia hanya menyedari Arissa menghidap penyakit itu ketika Arissa berusia 10 tahun selepas mendapati kedua-dua bahu anaknya tidak seimbang dan tulang belakangnya m
Reduan berkata dia hanya menyedari Arissa El Zahra menghidap penyakit itu ketika anak perempuannya berusia 10 tahun selepas mendapati kedua-dua bahunya tidak seimbang dan tulang belakang mula membengkok. - Gambar Bernama
Advertisement

IPOH: Seorang remaja, Arissa El Zahra Reduan, memerlukan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi menampung kos pembedahan skoliosis yang dijangka dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 8 Sept ini.

Bapanya, Reduan Saad, 41, berkata dia hanya menyedari Arissa El Zahra, 13, menghidap penyakit itu ketika anak perempuannya berusia 10 tahun selepas mendapati kedua-dua bahunya tidak seimbang dan tulang belakang mula membengkok.

“Pada mulanya, saya nampak dia macam membongkok sedikit, tetapi lama-kelamaan saya perasan tulang belakang anak saya senget sebelah dan kedua-dua bahunya juga tidak seimbang. 

“Perubahan itu menyebabkan saya dan isteri membawanya berjumpa dengan pakar ortopedik di HRPB pada 5 Jun 2024 dan mereka mengesahkan bahawa anak saya menghidap penyakit itu,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Utama, di sini hari ini.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata selepas disahkan menghidap skoliosis, Arissa El Zahra terlebih dahulu diberi rawatan menggunakan pendakap belakang bagi mengawal tahap kebengkokan tulang belakangnya sebelum pembedahan dapat dilakukan.

Reduan yang bekerja sebagai pembantu jualan berkata doktor tidak dapat terus melakukan pembedahan ketika itu kerana Arissa El Zahra masih terlalu muda dan perlu menunggu masa yang lebih sesuai berdasarkan perkembangan fizikalnya. 

“Arissa El Zahra mula memakai pendakap tulang belakang itu sejak September tahun lepas dengan kos kira-kira RM2,500. Pendakap ini perlu dipakai hampir 24 jam sehari kecuali ketika mandi bagi membantu mengawal keadaan tulang belakangnya daripada terus membengkok.

“Walaupun agak tidak selesa pada peringkat awal, Arissa El Zahra tetap mengikut arahan doktor dan tabah memakainya setiap hari kerana dia faham rawatan ini penting sementara menunggu masa sesuai untuk menjalani pembedahan,” katanya.

Reduan berkata sepanjang tempoh memakai pendakap berkenaan, Arissa El Zahra perlu menjalani pemeriksaan susulan secara berkala bagi memantau perkembangan keadaan tulang belakangnya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terkini mendapati tahap kelengkungan tulang belakang anaknya telah mencecah kira-kira 70 darjah, menyebabkan rawatan menggunakan pendakap tidak lagi mencukupi dan pakar ortopedik mencadangkan agar pembedahan dilakukan segera.

“Doktor nasihatkan supaya pembedahan dilakukan dalam tempoh terdekat kerana kami bimbang jika dibiarkan terlalu lama, lengkungan tulang belakangnya akan menjadi semakin teruk dan boleh memberikan kesan kepada fungsi organ dalaman, terutama apabila dia semakin membesar.

“Sekarang pun kami nampak perubahan pada Arissa El Zahra. Dia mudah letih, pergerakannya semakin terbatas dan tidak boleh melakukan aktiviti seperti biasa. Sebagai ibu bapa, kami risau melihat keadaan dia dan berharap pembedahan ini dapat membantu membaiki kehidupannya,” katanya.

Reduan berkata dia amat mengharapkan bantuan daripada orang ramai bagi menampung kos pembedahan berkenaan ekoran kemampuan kewangan keluarganya yang agak terhad.

“Saya bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya dengan pendapatan bersih kira-kira RM2,100 sebulan. Jumlah itu agak terhad kerana perlu menampung keperluan dua lagi anak yang masih bersekolah selain perbelanjaan harian keluarga, memandangkan isteri saya tidak bekerja,” katanya.

Selain itu, katanya, orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga boleh menyalurkannya ke akaun Maybank bernombor 158284021706 atas nama Mohd Reduan Saad.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement