GUA MUSANG: Seorang remaja warga Thailand maut apabila motosikal jenis Yamaha 15ZR atau Ysuku ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Jerek, Bertam, di sini pada Ahad.

Mangsa, Afnan Baha,18, maut dalam kejadian pada jam 11.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kampung Jerek hendak pulang ke rumah di Kampung Kuala Lah, Bertam di sini.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar bahagian hadapan sebuah kereta jenis Honda Jazz.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak. Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal tercampak ke atas cermin hadapan kereta dan melambung jatuh di jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan. -Sinar Harian