BUKIT MERTAJAM: Tempoh reman dua pengasuh wanita yang disyaki terlibat dalam kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) disambung selama tujuh hari lagi.
Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, berkuat kuasa mulai 16 hingga 22 Mac, bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut terhadap kes berkenaan.
Advertisement
Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 22 tahun, tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.30 pagi dengan berpakaian lokap ungu sebelum diiringi anggota polis untuk proses permohonan sambung reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, mereka direman selama tujuh hari bermula 10 hingga 16 Mac.
Media sebelum ini melaporkan bahawa seorang bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, yang ditempatkan di pusat jagaan kanak-kanak 24 jam HSJ, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri kira-kira jam 4 pagi.
Bayi tersebut dibawa ke Jabatan Kecemasan namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Ketika kejadian, ibu mangsa, Ummu Habibah Wahab, 30, seorang jururawat, sedang bertugas syif malam.
Bayi itu merupakan anak pertama beliau dan baharu dihantar ke taska berkenaan selepas tamat tempoh berpantang.