KUALA TERENGGANU: Kluster Bukit Bayas yang menjadi kluster baharu kes COVID-19 di Terengganu dikesan berpunca daripada aktiviti rentas negeri, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus.

Dr Nor Azimi berkata setakat ini seramai 48 individu telah disahkan positif wabak itu dan 954 kontak rapat berjaya dikesan sejak ia didaftarkan pada 8 Mac, melibatkan lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

"Kontak rapat keluarga akhirnya menjangkiti kontak rapat tempat kerja dan menjangkiti pula kontak rapat sosial. Geng joging dan bermain golf pun dijangkiti. Jangan pandang ringan kebolehjangkitan COVID-19.

"Lihat, besarnya kawalan yang perlu dibuat. Selagi mampu, kami akan terus melakukan aktiviti menyekat penularan. Kami tidak mahu ia menjadi seperti Kluster Kebor Air yang mengambil masa lama untuk surut," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik laman Facebooknya hari ini.

Katanya setiap kali kluster baharu dikesan, petugas kesihatan terpaksa berhempas pulas dan perlu bertindak pantas untuk mengesan kes dan kontak rapat sebelum menjalankan ujian saringan, memberikan rawatan serta mengasingkan mereka yang terlibat.

Kluster Bukit Bayas merupakan kluster komuniti melibatkan daerah Kuala Terengganu, Terengganu; Johor Bahru, Johor dan Petaling, Selangor dengan kes indeks bagi kluster ini membabitkan seorang wanita tempatan, berusia 28 tahun, dikesan positif COVID-19 pada 3 Mac lepas, hasil saringan individu bergejala.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui Facebook rasminya melaporkan empat kes baharu COVID-19 direkodkan di negeri itu sehingga semalam menjadikan jumlah kes aktif ketika ini 128 dengan 14 kluster aktif setakat ini.

Daripada jumlah itu, 126 kes berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala dua pesakit menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah dengan seorang daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

-- BERNAMA