KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan (MyCC) akan memantau perkembangan pelaksanaan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch 'n Go (TNG) secara konsisten selaras peranannya untuk memperjuang dan mempromosi persaingan bagi kepentingan rakyat Malaysia.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, berkata pihaknya mengadakan perjumpaan dengan PLUS dan TNG pada Isnin lalu bagi mendapatkan pemahaman lebih lanjut dan perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID di sepanjang Lebuhraya PLUS.

Dalam kenyataannya pada Khamis, jelasnya ini berikutan peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan RFID di seluruh Lebuhraya PLUS.

Jelas kenyataan itu juga, dengan mengambil kira tanggungjawab khas yang ada pada kedua-dua perusahaan dominan berkenaan dalam pasaran relevan, MyCC akan terus memantau keadaan dari masa ke semasa dan apabila sebarang isu persaingan dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan.

Katanya adalah penting untuk diingatkan bahawa pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidakpastian.

Justeru, MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan perubahan ini sentiasa memberi manfaat terbaik kepada semua pengguna.