Perwakilan Korea Utara yang dihantar ke Malaysia bagi berbincang berhubung kes pembunuhan Kim Jong Nam, Ri Tong Il dilihat keluar daripada Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Bukit Damansara sebentar tadi.

Beliau yang juga bekas duta negara itu di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dibawa keluar daripada bangunan kedutaan pada jam 5.20 petang menaiki kenderaan diplomat Toyota Alphard berwarna kelabu bernombor 28-64-DC.

Selain Tong Il, dua lelaki dilihat turut berada di dalam kereta tersebut di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

Salah seorang daripadanya dipercayai setiausaha kedua Kedutaan Korea Utara yang dikehendaki polis berhubung kes pembunuhan abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara itu, Hyon Kwang-Song.


Dia dilihat berpakaian hitam dan bertopi hitam, bagaimanapun identitinya belum dapat benar-benar dipastikan, termasuk seorang lagi penumpang yang duduk di bahagian belakang berkemeja putih.

Sehingga jam ini, masih tidak kelihatan kelibat Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol yang diberi masa 48 jam untuk keluar daripada Malaysia atas arahan yang dikeluarkan Wisma Putra bermula 6 petang semalam.

Menurut makluman petugas media yang berkampung di hadapan Kedutaan Korea Utara sejak semalam, kereta Jaguar yang menjadi kenderaan Kang Chol juga tidak kelihatan sejak malam tadi.

Kang Chol kini diklasifikasikan sebagai 'Persona Non Grata' atau 'individu yang tidak dikehendaki' atas kebiadaban kenyataannya terhadap kerajaan Malaysia berhubung penyiasatan kes pembunuhan Jong Nam pada 13 Februari lalu, masih menjadi tanda tanya.