Dianggarkan lebih 10,000 peserta berhimpun pada Hari Pekerja di hadapan bangunan KLCC hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Perhimpunan yang dinamakan perhimpunan #BatalGST itu dianjurkan kumpulan dari NGO Jawatankuasa Mei 1 dan bermula di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur termasuk Pasar Seni, Masjid Jamek, Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Negara sekitar jam 2.30 petang.

Antara Agenda himpunan tersebut turut menyaksikan pembacaan 'Deklarasi 1 Mei' yang menuntut 10 perkara dari kerajaan.

Deklarasi yang dibacakan pengerusi LENSA, Syukri Razak, antaranya menuntut supaya GST dibatalkan, rundingan TPPA dihentikan, gaji minima dikaji semula, hak kesatuan pekerja diperkasakan, hak pekerja wanita ditegakkan, hak pekerja migran tidak dieksploitasikan, penswastaan pekhidmatan asas seperti air dihentikan, kebebasan media ditegakkan, harga barang dikawal dan AUKU dimansuhkan.

Turut hadir bersama kumpulan Jawatankuasa Mei 1 itu ialah Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvam, Datuk S Ambiga, aktivis ABU Haris Ibrahim dan wakil-wakil pelajar, pekerja serta NGO.

Peserta kemudiannya berarak ke KLCC di mana beberapa pemimpin pelajar, badan bukan kerajaan (NGO), pekerja serta ahli politik pembangkang berucap di hadapan para peserta yang duduk mendengar ucapan-ucapan tersebut.

FOTO: Ribuan sertai perarakan #BatalGST 1 Mei

Pengerusi #BantahGST Mohamad Sabu atau Mat Sabu dalam ucapannya berkata, tujuan bantahan itu diadakan bukanlah hanya semata-mata untuk membantah cukai tersebut.

Menurut beliau yang juga Timbalan Presiden PAS, bantahan itu diadakan bagi menentang unsur-unsur penyelewengan, rasuah dan ketirisan wang negara yang dikatakan berlaku sekarang.

"Kita bantah cukai kerana rasuah, tiris, menyeleweng. Kita bantah bukan semata-mata hendak bantah," katanya di hadapan ribuan peserta yang hadir.

"Oleh itu kita tuntut kerajaan Barisan Nasional batalkan sahaja GST dengan segera," desak Mat Sabu lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dalam ucapannya menyifatkan pengutipan cukai GST oleh kerajaan sama seperti kerajaan British waktu dahulu.

Katanya pada zaman dahulu, British telah bertindak menekan rakyat di India dan Tanah Melayu dengan mengenakan cukai terhadap barangan keperluan asas.

Namun, tindakan itu telah mendapat tentangan dari Bapa Kemerdekaan India, Mahatma Ghandi di India dan pejuang Melayu dari Kelantan, Tok Janggut di Tanah Melayu di mana dia kemudiannya dihukum bunuh atas tindakannya itu.

"Kalau kamu tangkap Anwar mungkin mereka boleh maafkan, kalau kenakan akta hasutan pun mereka masih boleh maafkan. Tetapi kalau kenakan cukai pada yang tua dan miskin, rakyat akan bangkit," kata Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR dan ahli Parlimen Pandan.

Seorang lagi pemimpin Pakatan Rakyat, iaitu Anthony Loke berkata himpunan ini adalah bagi menyampaikan mesej kepada kerajaan supaya menarik balik GST.

"Kita bagi mesej pada BN... sama-sama bangkit dan teruskan perjuangan sampai kerajaan tarik balik GST," kata beliau yang merupakan Setiausaha Organisasi DAP itu.

Himpunan yang disokong oleh Bersih 2.0, Gerakan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Parti Sosialis Malaysia, serta beberapa NGO, parti politik dan persatuan pekerja itu berakhir pada jam 5.30 petang.

Ia merupakan kemuncak Protes anjuran Jawatankuasa Mei 1 yang terdiri daripada parti politik, NGO, golongan profesional dan mahasiswa.

Himpunan itu sebelum ini mensasarkan satu juta rakyat untuk berhimpun bersama mereka, namun angka itu dilihat tidak tercapai.

#KitaLawanGST
Perarakan adalah anjuran Jawatankuasa Mei 1 -Foto Astro AWANI/Shahir Omar



Perhimpunan turut dikawal ketat oleh anggota polis.

Selain itu perhimpunan turut dipantau oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam Negara.

#KitaLawanGST
Salah seorang peserta perarakan #BatalGST menggunakan topeng - Foto Astro AWANI/Shahir Omar