KUALA LUMPUR:Garis panduan sedia ada bagi penguatkuasaan sungai yang dirizabkan tidak cukup tegas bagi mengekang pencemaran sungai.

Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr Zaki Zainudin berkata, perlindungan ke atas sungai-sungai yang dirizabkan hanyalah berbentuk garis panduan dan bukannya undang-undang.

"Jadi saya berpendapat, penguatkuasaan yang lebih ketat perlu bagi mengelakkan sebarang aktiviti di kawasan sungai yang telah dirizabkan," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini, pada Ahad.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu, sebanyak 22 loji rawatan air (LRA) di Sabah berdepan masalah untuk membekalkan air bersih berikutan pencemaran sungai yang menjejaskan operasi loji.

Antara punca banyak daerah di seluruh negeri ini berdepan masalah bekalan air, selain menjejaskan perkembangan sektor industri kerana bekalan air tidak mencukupi atau sering terganggu.

Zaki menjelaskan, pembangunan termasuk pertanian di tebing sungai tidak seharusnya dibenarkan kerana ia menganggu ekosistem kawasan tersebut.

"Apabila berlaku pencerobohan, tumbuhan yang bertindak memegang tanah di tebing sungai tidak ada lagi yang akhirnya akan menyebabkan hakisan," ujarnya.

Beliau berkata, disebabkan pelbagai faktor termasuk pencerobohan tanah akan menyumbang berlakunya pencemaran sumber air dengan  dengan tahap kekeruhan melebihi 1,000 Nephelometric Turbidity Unit (NTU).

"Namun dengan teknologi konvensional yang kita ada, kemampuan loji hanya mampu merawat air yang mencatatkan tahap kekeruhan di bawah 1,000 NTU," katanya lagi.