Skip to main content

Malaysia

RM1 juta hidupkan semula pusat bandar Kuala Lumpur melalui geran komuniti

[TB]_Hanna yeoh_Astro Awani
Hannah (tiga, kiri) dan Fadlun (dua, kiri) pada majlis pelancaran Downtown Kuala Lumpur Grants Programme 2026 dan Downtown Kuala Lumpur Collective Day di ODEON Kuala Lumpur, pada Selasa. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan dana berjumlah RM1 juta menerusi Downtown Kuala Lumpur Grants Programme 2026 bagi menyokong pelbagai projek komuniti, budaya, perniagaan kreatif dan aktiviti awam dalam usaha menghidupkan semula pusat bandar Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata program itu dilaksanakan dengan sokongan Think City, menawarkan pembiayaan antara RM30,000 hingga RM100,000 kepada pemohon.

“Saya berharap semua yang berminat, khususnya mereka yang mempunyai idea baharu, akan memohon geran ini. 

"Semua kriteria akan dikongsikan oleh Think City dan saya berharap kita dapat bekerjasama untuk mendapatkan idea-idea baharu bagi menghidupkan semula Kuala Lumpur. 

"Kerajaan dan sektor swasta sedang melabur untuk membina serta menaik taraf banyak bangunan, namun apa yang kita mahu dengar daripada pihak berkepentingan ialah jenis aktiviti yang mereka inginkan. 

"Paling penting, DBKL perlu terus mengadakan sesi libat urus bagi mendengar pandangan dan idea daripada mereka yang bekerja serta tinggal di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Downtown Kuala Lumpur Grants Programme 2026 dan Downtown Kuala Lumpur Collective Day di ODEON Kuala Lumpur, pada Selasa. 

Hannah berkata, Think City akan bertindak sebagai penyelaras utama bagi memastikan setiap cadangan dinilai secara menyeluruh, sekali gus mengelakkan pertindihan projek dan pembaziran sumber.

Think City ialah sebuah organisasi impak sosial yang ditubuhkan pada 2009 dan merupakan anak syarikat milik Khazanah Nasional Berhad.

Hannah berkata, pendekatan itu juga membolehkan kerajaan mengenal pasti idea yang benar-benar berpotensi untuk direalisasikan dan memberi impak kepada pembangunan pusat bandar Kuala Lumpur.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, berkata geran berkenaan merupakan antara usaha berterusan untuk memperkukuh ekosistem pusat bandar melalui kerjasama kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat.

Beliau berkata, antara projek yang pernah menerima manfaat daripada geran itu ialah Kwai Chai Hong, Zhongshan Building di Kampung Attap dan REXKL, yang kini menjadi antara tarikan utama di pusat bandar hasil transformasi fizikal serta pengisian aktiviti komuniti.

Menurutnya, geran berkenaan bukanlah inisiatif baharu kerana ia telah dilaksanakan setiap tahun, dengan tumpuan diberikan kepada projek yang mampu memberi impak jangka panjang kepada pembangunan bandar.

Geran itu juga dinilai berdasarkan prinsip kemampanan bagi memastikan setiap projek yang menerima pembiayaan mampu diteruskan selepas tamat tempoh bantuan, sekali gus memberi manfaat berpanjangan kepada warga kota serta menyumbang kepada usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan.

Must Watch Video

Advertisement