MALAYSIA
RM4 juta naik taraf infrastruktur bekalan air pangsapuri kos rendah Pulau Pinang

Kon Yeow (tiga dari kiri) menyaksikan majlis penyerahan cek cura sumbangan PBAPP kepada LPNPP pada Isnin. - Gambar Sinar Harian
GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyediakan RM4 juta bagi menyokong inisiatif meningkatkan bekalan air kepada penduduk pangsapuri kos rendah melalui Program Intervensi Penyelenggaraan infrastruktur (PRIHATIN).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sumbangan tanggungjawab sosial korporat PBAPP yang merangkumi peruntukan bagi 2024 dan 2025, masing-masing berjumlah RM2 juta itu akan meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan bekalan air di kawasan yang memerlukan.
Beliau berkata skop kerja di bawah Program PRIHATIN merangkumi pelbagai usaha pembaikan infrastruktur air, termasuk kerja-kerja pembaikan dan penggantian tangki serta paip sedia ada sementara skop pembinaan baharu pula melibatkan pemasangan tangki air sedutan atau pembinaan rumah pam.
"Di Pulau Pinang, dianggarkan 300 projek perumahan kos rendah, khususnya pangsapuri lima tingkat dibina tanpa kemudahan tangki sedutan dan sistem pam air dengan kebanyakan tangki air di atas bumbung pula terletak pada ketinggian sekitar 20 meter atau lebih dari paras tanah."Kebanyakan projek ini disiapkan lebih 15 tahun lepas, ketika itu penggunaan air di Pulau Pinang berada di bawah 800 juta liter sehari (JLH) dan apabila diperlukan, PBAPP masih berupaya mengepam air pada tekanan tinggi bagi mencapai serta mengisi semula tangki air di atas bumbung projek-projek perumahan kos rendah itu," katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini.
Chow bagaimanapun berkata melalui pelaksanaan Program PRIHATIN, lebih 20 skim perumahan kos rendah bakal menerima manfaat secara berperingkat dengan lima skim perumahan diluluskan bagi fasa pertama dan bakal disusuli dengan lawatan tapak oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan penilaian serta tindakan lanjut.
Beliau yang juga Pengerusi PBAPP memaklumkan penggunaan air di Pulau Pinang mencecah 870 juta liter sehari (MLD) pada tahun lepas dan PBAPP giat berusaha menyalurkan air terawat pada tekanan minimum 10 meter head (mH) di semua kedudukan meter utama aras bawah di seluruh negeri.
"Tekanan 10mH yang dibekalkan pada masa kini adalah lebih rendah daripada ketinggian tangki air di atas bumbung pangsapuri lima tingkat, yang biasanya terletak 20 meter atau lebih tinggi dari paras tanah, oleh itu air terawat yang dipam oleh PBAPP pada hari ini mungkin tidak sampai terus ke tangki berkenaan.
"Projek perumahan kos rendah tanpa kemudahan tangki sedutan dan sistem pam air dilihat terkesan dengan situasi ini dan inilah rasional di sebalik keperluan supaya semua projek bangunan tinggi untuk kediaman serta komersial dilengkapi dengan tangki sedutan," katanya.
Beliau memaklumkan sumbangan RM4 juta diberikan memandangkan majoriti penduduk pangsapuri kos rendah tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40), manakala kebanyakan projek pangsapuri kos rendah di Pulau Pinang tidak mempunyai perbadanan pengurusan bagi mengurus dan menyelenggara kemudahan bangunan dengan berkesan.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan menyerahkan cek sumbangan kepada Ketua Pegawai Perniagaan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan disaksikan Chow.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami