KOTA KINABALU:Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Dalam Belanjawan 2021 itu antara lain yang diluluskan ialah sejumlah RM50 juta tambahan diperuntukkan kepada Sabah pada bulan Disember ini untuk memerangi pandemik COVID-19.

Sabah turut mendapat peruntukan daripada peruntukan kerajaan Persekutuan bernilai RM3 bilion dalam memerangi COVID-19 sejak wabak itu melanda awal tahun ini melalui pelbagai saluran termasuk bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan NADMA.



"Oleh itu, bagi pihak Kerajaan Sabah, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional atas kelulusan belanjawan sulungnya ini," katanya.

Ketua Menteri mengulas kelulusan Belanjawan 2021 yang mendapat sokongan majoriti selepas ucapan penggulungan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, pada Khamis.

Belanjawan ini mewakili 20.6 peratus daripada keseluruhan Kadar Domestik Negara Kasar (KDNK), melebihi peruntukan tahun lepas sejumlah RM297 billion dan seterusnya merupakan peruntukan bajet terbesar negara, setakat ini.

Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan rakan sejawat di Persekutuan dalam memastikan semua program pembangunan yang dinyatakan dalam Belanjawan 2021 dapat dilaksanakan dengan jayanya. 

Sementara itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM50 juta lagi diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam usaha memerangi penularan COVID-19 di negeri itu.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Katanya keputusan itu dibuat selepas mengambil kira cadangan dan saranan ahli Parlimen.