TELUK INTAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM80 juta bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di daerah Teluk Intan.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, projek RTB sepanjang enam kilometer (km) di pesisir Sungai Perak itu dijangka bermula tahun ini dan siap selewat-lewatnya pada 2026 dengan proses tender terbuka.

“Projek RTB sepanjang 6km akan dibina yang mana ia akan melibatkan kos sebanyak RM80 juta. Penyaluran bajet itu juga akan dilaksanakan dengan kaedah penilaian prestasi.

“Selain itu, saya juga mengumumkan bahawa proses tender terbuka akan dijalankan pada bulan ini juga bagi memastikan tiada kelewatan pelaksanaan projek berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Pasar Besar Teluk Intan, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nga berkata, Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi empat projek menaik taraf infrastruktur di Teluk Intan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, peruntukan itu melibatkan projek menaik taraf Medan Selera Glutton Square; Pusat Penjaja di Jalan Maharani; Pasar Besar Teluk Intan serta Taman Rekreasi Riverfront.

Menurutnya, pelaksanaan projek-projek berkenaan sebagai usaha meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan keselesaan para peniaga dan pengunjung di daerah berkenaan.

"Empat projek naik taraf ini akan melibatkan 45 skop kerja dengan agensi pelaksanaan di bawah Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang dijangka siap akhir tahun ini.

"KPKT akan memantau secara rapi untuk pastikan tidak berlaku sebarang ketirisan dengan setiap peruntukan yang dikeluarkan menepati sasaran projek," jelasnya lagi.