Roblox beri jaminan tingkat keselamatan - Hannah Yeoh

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Hannah telah menzahirkan kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak kepada pihak Roblox, aplikasi permainan dalam talian yang popular. - Foto Facebook/Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR: Pihak Roblox memberi jaminan akan mempertingkat tahap keselamatan melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan dan pemantauan manusia.
Ringkasan AI
- Roblox beri jaminan tingkat keselamatan melalui teknologi kecerdasan buatan dan pemantauan manusia, serta bersedia bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam pematuhan peraturan.
- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh zahirkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak dalam dunia digital, menekankan kepentingan nilai dan karakter dalam permainan atas talian.
- Insiden keganasan melibatkan kanak-kanak dikaitkan dengan permainan Roblox, mencetuskan gesaan agar platform lebih bertanggungjawab dalam melindungi pengguna muda.
"Kita mahu dunia digital yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membina karakter dan nilai yang betul untuk generasi akan datang," katanya yang turut memuat naik gambar beliau bersama pihak Roblox.
Beliau berkata platform seperti Roblox kini mempunyai lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia termasuk lebih sejuta di Malaysia.
"Dengan capaian sebesar ini, tanggungjawab melindungi pengguna muda tidak boleh dipandang ringan.
"Sebagai Menteri Belia dan Sukan dan juga seorang ibu, saya risau apabila melihat bagaimana sesetengah permainan dalam talian boleh mempengaruhi tingkah laku dan emosi kanak-kanak," katanya.
Pada Sabtu lepas, seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun parah dikelar abangnya yang berusia sembilan tahun dengan objek tajam di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat.
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata siasatan awal mendapati abang mangsa mungkin mencederakan adiknya selepas permainan Roblox yang dimainnya terganggu dan semua 'point' dikumpulnya hilang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


