Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka menambah beberapa anggota parlimen dari MCA dan Gerakan dalam rombakan kabinet yang bakal berlaku hari ini, lapor The Malaysian Insider.

Bagaimanapun menurut laporan tersebut yang berdasarkan sumber, tiada menteri yang akan digugurkan berikutan rombakan itu.

Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada 31 Mei lalu, sah akan diberi tempat di Kabinet seperti yang dijanjikan Perdana Menteri.

Selain itu Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut dijangka akan diberi kerusi di Kabinet setelah rombakan itu berlaku.

MCA selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), dilaporkan enggan menerima sebarang jawatan di Kabinet berikutan prestasi mereka yang kurang memuaskan pada pilihan raya itu.

Najib dijangka akan mengisikan empat jawatan yang masih kosong sejak PRU-13 termasuk jawatan Menteri Pengangkutan yang kini sedang dipangku oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Tiga lagi jawatan yang bakal diisi ialah jawatan Timbalan Menteri bagi Kementerian Kewangan, Kementerian Pelancongan dan Jabatan Perdana Menteri.