Rombakan kabinet yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun kecil namun ia adalah satu manifestasi kepada hasrat kerajaan untuk memperkemaskan sistem penyampaian kepada rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan yang baharu Datuk Othman Aziz.

Othman yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata, melalui rombakan itu ia mampu memperbetulkan sistem penyampaian agar lebih mantap bagi memastikan golongan sasar mampu mendapat faedah daripada perancangan kerajaan.

"Kita berharap dalam tempoh setahun dua sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 kita akan dapat bantu sedaya mungkin golongan masyarakat atau segmen terlibat supaya mereka dapat terima faedah daripada perancangan kerajaan yang dibuat setiap tahun.

"Saya amat yakin rombakan ini mampu memperkukuhkan dan memperkasakan sistem penyampaian kepada golongan sasar. Kadang-kadang kita ada sistem subsidi tapi banyak juga rungutan yang rakyat tak dapat, kalau dapat pun kualiti kurang baik mungkin dari segi kuantiti tidak cukup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat UMNO Jerlun di Hotel Grand Alora malam tadi.

Menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan kepada Badan Perhubungan UMNO negeri dan rakyat Kedah khususnya, Othman berkata beliau akan berusaha sehabis baik bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya agar dapat menikmati kemudahan dengan selesa.

"Saya akan cuba bantu kerajaan bagi pastikan antara lainnnya apa-apa dasar dibuat kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, bantuan awal persekolahan, nelayan dan pekebun kecil akan terus terbela dan perlu ada bajet tertentu khusus untuk segmen ini.

"Di Kedah kita perlukan sokongan Kementerian Kewangan dan kerajaan pusat untuk bantu kerajaan negeri melihat apa-apa yang kita kena buat mungkin dari sudut infrastruktur, bekalan air dan banyak benda perlu kita beri keutamaan kepada Kedah," katanya.

Mengenai kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Muda (MADA), beliau menyerahkan kepada perdana menteri untuk membuat keputusan berhubung perkara itu dan akan akur dengan apa jua keputusan.

"Harap pengganti mampu meneruskan usaha yang telah saya buat dengan harapan nasib petani MADA dan petani lain akan terbela terutama isu-isu berkaitan hal pemotongan padi, kehilangan lepas tuai dan sebagainya yang telah pun kita jalankan," katanya.

Mengulas mengenai pemecatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipecat daripada UMNO, beliau berkata UMNO Jerlun sama sekali tidak terjejas dengan perkara itu, malah kehadiran dalam mesyuarat pada malam ini juga amat memberangsangkan iaitu lebih 90 peratus.

"Semangat mereka ini meletakkan keutamaan kepada parti di mana kita melihat bahawa apa pun tak kiralah apa berlaku yang penting kita perlu mengorak langkah ke hadapan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan rakyat memang harap UMNO teruskan perkhidmatan itu," katanya yang juga Naib Ketua Bahagian UMNO Jerlun.