SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan masih belum menerima surat peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Bagaimanapun, katanya, Loke sudah memaklumkan kepadanya mengenai hasrat untuk mengemukakan surat berkenaan dan mengadakan perbincangan dengannya.
Anwar berkata, beliau mahu mendengar sendiri penjelasan dan pandangan Loke terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.
“Saya belum sempat bincang apa-apa lagi. Saya kena dengar pandangan dia. Saya faham sebab dia ini orang yang ada prinsip dan dia memang daripada awal konsisten bantah peraturan yang boleh beri gambaran seolah-olah kita ini lemah atau longgar terhadap amalan rasuah.
“Jadi lebih baiklah saya jumpa dia, dengar pandangan dia dan itu baru saya boleh bagi keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Grand Ballroom, SITC, Shah Alam pada Ahad.
Menurut Anwar, pertemuan dengan Loke mungkin hanya berlangsung selepas lawatan Menteri Pengangkutan itu ke Shanghai.
Ditanya sama ada perkembangan itu akan membawa kepada rombakan Kabinet, Anwar sekadar menjawab ringkas: “Satu-satulah.”
Terdahulu, Loke menawarkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah dengan bersyarat.
Loke berkata, beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatan itu kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, keputusan itu hanya melibatkan dirinya sebagai anggota Jemaah Menteri.