KUALA LUMPUR: Dua individu termasuk seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan berkumpulan melibatkan kerugian RM700,000, masing-masing direman tiga dan empat hari.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata kedua-dua individu berusia 30-an itu ditahan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Sabtu dan Ahad.

"Setakat ini, kita sudah memanggil 12 individu untuk merekodkan keterangan untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Noor Dellhan memberitahu, pihaknya masih menjalan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Jika disabit dengan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan juga sebat.

Semalam, SPRM dalam kenyataan mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, pada Jumaat lepas.

SPRM menegaskan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah.

Suruhanjaya itu juga akan memberi kerjasama penuh untuk mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada polis. 

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, di sini melibatkan kerugian hampir RM1 juta.