TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau yang baharu, ACP Rosdi Mat Jusoh berikrar untuk meneruskan legasi kecemerlangan kepimpinan terdahulu di daerah itu selari dengan aspirasi pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Rosdi yang sebelum ini menjawat Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sabah berkata, jawatan yang dipikul merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan keikhlasan dan rasa tanggungjawab.
"Saya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan penuh rasa hormat terhadap perjalanan yang dilalui kepimpinan terdahulu. Usaha memperkasakan IPD Tawau akan diteruskan bagi menghargai asas kukuh yang dibina oleh mantan Ketua Polis Daerah Allahyarham ACP Jasmin Hussin.
“Kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada kekuatan pasukan yang saling mempercayai dan berkongsi matlamat utama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Rosdi menerima serahan tugas rasmi daripada Pemangku Supt Wilynton Enchana Watt yang turut menyaksikan Rosdi menerima kenaikan pangkat kepada Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) di IPD Tawau, di sini, disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun
Dalam kenyataan sama, Jauteh turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan Rosdi untuk memacu kecemerlangan pentadbiran polis di daerah berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghormatan kepada Allahyarham Jasmin yang disifatkan sebagai pegawai berdedikasi, berintegriti tinggi dan komited terhadap keselamatan masyarakat.
Jasmin meninggal dunia pada 17 Jun lepas ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tawau.
PDRM dalam satu kenyataan pada 29 Julai lepas mengumumkan pertukaran 26 pegawai kanan pasukan keselamatan tersebut, termasuk pelantikan Rosdi sebagai Ketua Polis Daerah Tawau.
-- BERNAMA