KUALA LUMPUR:Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi hujahan kes rasuah yang dihadapinya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dijangka membuat keputusan ke atas isteri bekas Perdana Menteri itu, sama ada beliau bebas atau diarah membela diri, berkaitan tuduhan tersebut.

Terdahulu, pada 11 Dis 2020, pihak pendakwaan menutup kes ini selepas 23 saksi dipanggil memberi keterangan.

Hakim memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis sebelum 28 Dis dan 4 Jan lalu serta mengemukakan jawapan balas pada 29 Jan.

Mahkamah turut menetapkan 10 Feb untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada Rosmah dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri. 

Pada 15 Nov 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak. 

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di ‪No 11, Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 Sept 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 10 Apr 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Feb 2020.