Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, di sini yang mula beroperasi pada 1 Dis tahun lepas turut membuka peluang kepada penduduk setempat menjana ekonomi selain mewujudkan peluang pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Hasan Abdul Rahman berkata pusat sehenti itu yang menyediakan pelbagai perkhidmatan daripada 28 agensi kerajaan dan swasta telah berjaya menarik kehadiran kira-kira 250,000 pengunjung.

"RTC secara tidak langsung membuka peluang kepada masyarakat setempat bagi menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi selain mewujudkan peluang pekerjaan.

"RTC yang telah siap kira-kira 85 peratus ini dilihat mampu menjadi ejen untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik daripada kerajaan kepada rakyat melalui pelaksanaan program-program peningkatan pendapatan, pengurangan kos sara hidup dan penyediaan perkhidmatan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penghargaan Media di RTC Sungai Rambai, di sini malam tadi yang dihadiri 86 anggota Kelab Media Massa Melaka daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, The New Straits Times Press, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Utusan Malaysia, Sinar Harian dan Melaka Hari Ini.

Hasan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai berkata RTC itu menjadi platform bagi sektor pertanian membangunkan usahawan dalam bidang pemprosesan makanan sama ada untuk pasaran tempatan mahupun global.

"Melalui inisiatif rangkaian strategik projek berorientasikan pertanian seperti Agro Bazar yang akan beroperasi 24 jam di samping program Pengurusan Rantaian Bekalan Hasil Pertanian yang bertujuan memperkukuhkan pengurusan sistem rantaian bekalan dari ladang terus kepada pengguna.

"Selain itu, projek penternakan rusa di Agro Park di sini akan dibangunkan secara lebih intensif menerusi ladang ternakan moden selain projek revolusi tanah terbiar milik kerajaan negeri atau swasta akan dibangunkan dengan projek pertanian jangka pendek," katanya.

Majlis yang pertama kali diadakan itu bagi menghargai peranan pengamal media menyaksikan sebanyak 12 kategori dipertandingkan dengan Bernama Biro Melaka mengungguli Anugerah Khas Media sebagai media paling dipercayai dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat dengan membawa pulang trofi, wang tunai dan sijil.

Kategori Siaran Langsung Terbaik dimenangi RTM manakala Suffian Abu Bakar daripada Utusan Malaysia dan Farhana Yaakob daripada Sinar Harian menggondol anugerah kategori Wartawan Terbaik.

-- BERNAMA