PERMATANG PAUH: Ruang pejabat bangunan Wisma Transformasi UMNO Bahagian Permatang Pauh di Jalan Kubang Semang, di sini terbakar dalam kejadian tengah hari Selasa.

Menurut  Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang , pihaknya menerima panggilan pada 12.51 tengah hari .

Jentera dan anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti dan Bukit Mertajam bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian pihak bomba mendapati kebakaran melibatkan bangunan Kelas A iaitu sebuah ruang  pejabat di bangunan setinggi tiga tingkat berkenaan.

Kebakaran dilaporkan berlaku di tingkat bawah bangunan dengan anggaran  kemusnahan kebakaran sebanyak 30 peratus.

Bagaimanapun kebakaran tidak membabitkan mangsa.

Kebakaran  dapat dikawal sepenuhnya kira-kira  jam 1.10 tengah hari dan operasi pemadaman turut dibantu pasukan bomba sukarela berdekatan.

Setakat ini, pihak bomba sedang mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said ketika dihubungi  memaklumkan, kebakaran di ruang pejabat itu memusnahkan pelbagai dokumen dan peralatan pejabat dengan anggaran kerugian sebanyak RM50,000.

Menurutnya, Unit Forensik JBPM sedang mengenal pasti punca kebakaran namun tidak menolak kemungkinan berlaku litar pintas pendingin udara di ruang pejabat berkenaan.

Sebanyak tujuh set komputer, mesin penyalin, mesin pencetak, pendingin udara serta peralatan pejabat yang lain terbakar.

'' Kejadian berlaku sewaktu waktu rehat, jadi tiada kakitangan berada di pejabat ketika itu.

'' Orang awam yang melihat api, bertindak menghubungi bomba memaklumkan mengenai kebakaran berkenaan,'' katanya hari ini.