MALAYSIA
Rujukan Ambalat tidak tepat, Blok ND6 dan ND7 sebahagian kawasan kedaulatan Malaysia

Wisma Putra menyebut kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah dalam proses rundingan dan perbincangan bagi menyelesaikan isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia berpendirian bahawa Blok ND6 dan ND7 di Laut Sulawesi yang dituntut Indonesia menerusi rujukan Ambang Batas Laut atau 'Ambalat' merupakan sebahagian daripada kawasan kedaulatan Malaysia.
Menerusi jawapan bertulis di portal Parlimen, Kementerian Luar atau lebih dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan pendirian itu berdasarkan undang-undang antarabangsa yang terhasil selepas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2002.
"Dalam hubungan ini, rujukan 'Ambalat' kepada sebahagian blok tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan. Oleh yang demikian, rujukan yang betul kepada kawasan yang berkenaan yang perlu digunakan selaras dengan pendirian Malaysia adalah Laut Sulawesi," menurut kementerian itu.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) yang ingin tahu sama ada persetujuan kerajaan Sabah akan diperoleh sebelum sebarang persetujuan dengan kerajaan Indonesia dibuat mengenai pendekatan pembangunan secara bersama untuk membangunkan blok Ambalat yang terletak sebahagiannya dalam kawasan lautan Sabah seperti dilaporkan media baru-baru ini.Kementerian menjelaskan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia pada 27 Jun lepas, pemimpin kedua-dua negara telah mengeluarkan kenyataan bersama berhubung cadangan pembangunan di Laut Sulawesi.
"Cadangan bersama ini adalah merujuk kepada perkara yang masih lagi di peringkat pertimbangan awal bagi meneroka kebarangkalian kerjasama tersebut dan sememangnya belum lagi dimuktamadkan.
"Ini merupakan usaha-usaha awal kedua-dua pemimpin mencuba untuk mencari penyelesaian terbaik bagi kedua-dua negara," menurut kementerian itu.
Wisma Putra menyebut kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah dalam proses rundingan dan perbincangan bagi menyelesaikan isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia.
Kerajaan Persekutuan juga sentiasa mengambil serius pandangan dan pendirian kerajaan negeri itu dalam membuat sebarang keputusan bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara.
Kementerian itu juga memaklumkan perbincangan berkaitan sempadan maritim adalah berlandaskan prinsip perundangan dan teknikal yang dilakukan secara teliti, cermat dan berhemat.
"Dalam hal ini, kerajaan sentiasa membuat penilaian terperinci dan menyeluruh berhubung sebarang cadangan penyelesaian termasuklah kerjasama ekonomi dalam mencari keputusan yang saling memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
"Kementerian Luar sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan berhubung perkara persempadanan maritim Malaysia menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan malah komited dalam melaksanakan rundingan dengan negara-negara jiran bagi mencari penyelesaian yang dipersetuju kedua-dua pihak terlibat," menurut kementerian itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami