JEMPOL: Sebanyak 809 daripada 2,613 unit rumah selesai dibaik pulih, manakala 10 daripada 97 unit lagi siap dibina baharu di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia setakat 17 Jun lepas, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata ia membabitkan tujuh negeri yang terkesan akibat banjir iaitu di Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor, Johor dan Sabah dengan kos keseluruhan setakat ini berjumlah RM44.8 juta.

"Kerja baik pulih dan bina baharu rumah berkenaan telah bermula sejak selepas banjir hingga sekarang, manakala yang lain masih dalam pembinaan dan ada yang belum siap kerana masalah tanah serta rumah yang tidak sesuai (dibina) atas rizab sungai.

"Jadi perlu dipindahkan dan kita kerjasama dengan kerajaan negeri untuk minta tanah lain, sebab itu lambat sikit untuk pembinaan rumah dan ada yang masih menunggu kelulusan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Wacana Ilmu: Wanita Inspirasi (WINS) Kemas Negeri Sembilan 2022 di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini memperuntukkan masing-masing RM50 juta kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menggerakkan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia bagi membina semula dan membaik pulih rumah yang terkesan akibat banjir.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperuntukkan RM13.5 juta bagi pelaksanaan program peningkatan taraf hidup keluarga daripada kumpulan kurang berkemampuan di luar bandar tahun ini, dalam bentuk peralatan keusahawanan dan kursus kemahiran.

Menurutnya sejak program bantuan Kemas diperkenalkan pada 2016, ia telah memanfaatkan 18,477 peserta di seluruh negara dengan golongan wanita merupakan penerima bantuan paling ramai membabitkan 16,618 individu.

"Saya yakin peruntukan yang disediakan ini dapat memberi banyak manfaat kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar yang berusaha untuk keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata KPLB menyalurkan RM9.5 juta bagi menyelenggara dan membaik pulih kira-kira 300 Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas yang berada dalam keadaan uzur di seluruh negara.

"Kita memang ada peruntukan untuk itu (tabika uzur) dan Kemas telah kenal pasti mana-mana tabika yang uzur untuk pembaikan termasuk untuk di bilik air, lantai tempat memasak dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA