KUALA LUMPUR: Rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini antara acara yang paling dinantikan pelbagai lapisan masyarakat selepas dua tahun berturut-turut ia tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19.

Dengan kelonggaran sambutan Aidilfitri yang diberikan tahun ini selepas negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lepas, banyak pihak termasuk menteri besar di beberapa negeri tidak melepaskan peluang menganjurkan rumah terbuka.

Di JOHOR, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar di Saujana.

Berangkat sama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Yang Amat Mulia Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor serta ketua jabatan.



Rumah terbuka Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi itu yang dihadiri kira-kira 10,000 rakyat berbilang kaum berlangsung dalam suasana meriah dengan orang ramai mula berkumpul di perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar itu seawal jam 8.30 pagi.

Tinjauan Bernama juga mendapati kebanyakan tetamu yang hadir bersama keluarga ke majlis yang berlangsung sehingga pukul 3 petang itu, turut memakai pakaian sedondon bagi menceriakan majlis rumah terbuka Aidilfitri berkenaan dan turut dihidangkan dengan pelbagai juadah termasuk makanan istimewa masyarakat Bugis iaitu burasak dan lepat loi serta laksa Johor, mi rebus, otak-otak, kacang pool dan beriani.

Di SELANGOR, jamuan Aidilfitri di kediaman Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari turut berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran rakyat berbilang kaum.

Selain itu, ia turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan agensi negeri itu.

Amirudin ketika ditemui pemberita berkata acara berkenaan yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu dijadualkan diadakan pada 1 Syawal.

"Majlis ini dirancang pada hari pertama raya tetapi memandangkan Aidilfitri diisytihar sehari lebih awal, jadi kita langsungkan pada pagi 2 Syawal," katanya.

-- BERNAMA