KUALA NERUS: Rumah tradisional Melayu yang mencecah usia ratusan tahun bakal menjadi tarikan terbaharu kepada pelancong yang bertandang ke negeri Terengganu.

Himpunan rumah purba mengikut negeri yang dikenali dengan Terramalai itu dibina di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit dijangka akan dibuka kepada pengunjung pada Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, keunikan senibina yang terukir dirumah mewakili setiap negeri di Malaysia mampu memikat orang ramai untuk melihatnya secara dekat.

Katanya menerusi projek pembinaan rumah tradisional Malaysia diketengahkan secara persendirian itu membantu merancakkan lagi pelancongan komuniti setempat.

"Apabila kawasan ini siap dibina, ia akan menjadi tarikan baharu seperti Kampung Budaya di Sarawak.

"Di sini terdapat Istana Lama Tengku Long dan lain-lain di bawah Muzium Negeri dan Jabatan Pelancongan Negeri dan beberapa rumha lain persendirian.

"Kerajaan negeri sangat menggalakkan mana-mana pihak untuk memberi sumbangan produk supaya kita sama-sama dapat memajukan negeri Terengganu ini," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata pemilik terramalai itu sedang berusaha bagi mendapatkan rumah tradisional seluruh negara untuk dibangunkan termasuk istana lama.

Katanya bagi permulaan, sebanyak tiga buah rumah purba  sedang dibina iaitu Rumah Negeri Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Ariffin berkata pihaknya menggalakkan pemain-pemain industri pelancongan ini untuk mewujudkan pelbagai produk baru untuk disajikan kepada orang ramai.