KOTA BHARU: Rundingan berhubung isu import udang dari Thailand kini berada di peringkat akhir dan dijangka selesai pada pertengahan bulan ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau mengesahkan perkara itu selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Road to MAHA 2026 Zon Timur di sini hari ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada bulan lepas mengumumkan penggantungan sementara import lima spesies udang dari Thailand, berkuat kuasa 1 Jun sebagai sebahagian daripada kawalan lebih ketat terhadap produk perikanan dari negara jiran itu.
Spesies yang terlibat ialah Penaeus esculentus (udang harimau coklat), Fenneropenaeus merguiensis (udang pisang), Penaeus vannamei (udang putih), Penaeus monodon (udang harimau) dan Penaeus stylirostris (udang biru).
Sementara itu, Mohamad ketika mengulas mengenai MAHA 2026 berkata program kali ini lebih memberi tumpuan kepada inovasi dan pemodenan sektor pertanian, selain menyaksikan lebih banyak penyertaan dari negara luar termasuk Afrika dan Asia Tengah, selain China, Britain, Jepun dan Amerika Syarikat.
Beliau berkata penyertaan negara-negara berkenaan mencerminkan minat untuk bersama-sama melihat perkembangan teknologi, khususnya dalam bidang pertanian serta membuka ruang perkongsian teknologi antara negara.
Mohamad berkata keterjaminan makanan kini menjadi agenda utama di seluruh dunia, terutama bagi negara seperti Malaysia yang masih mempunyai kebergantungan tinggi terhadap import makanan.
Beliau berkata Road to MAHA 2026 yang diadakan di Kota Bharu adalah siri terakhir selepas penganjuran program berkenaan di Kedah, Selangor, Melaka dan Labuan.
Sementara itu, Mohamad yakin MAHA 2026 mampu menarik sekitar lima juta pengunjung, sama seperti jumlah yang direkodkan dua tahun lepas.
“Sambutan Hari Kebangsaan juga dijangka membantu menarik orang ramai untuk berkunjung ke MAHA 2026,” katanya.
Penganjuran MAHA 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept dijangka menghimpunkan teknologi pertanian moden, inovasi, peluang pelaburan serta kerjasama industri, dengan nilai potensi pelaburan disasarkan mencecah RM8 bilion dan jualan langsung RM58 juta.
-- BERNAMA