NEW YORK: Jutawan media Rupert Murdoch yang mengawal kedua-dua News Corp dan Fox menarik balik cadangan untuk meneroka kemungkinan menggabungkan kedua-dua syarikat media berkenaan, lapor agensi berita Jerman dpa.

Dalam surat kepada kepada kedua-dua firma itu, Murdoch, 91 tahun berkata beliau dan anaknya Lachlan Murdoch, ketua eksekutif Fox memutuskan cadangan gabungan itu tidak sesuai untuk pemegang saham kedua-dua gergasi media itu buat masa ini, menurut siaran akhbar Fox pada Selasa.

Beberapa pemegang saham syarikat itu dilaporkan menyuarakan bantahan mereka terhadap penggabungan itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Hasil tindakan itu, News Corp yang membuat liputan luas berita utama di seluruh dunia dan Fox yang kebanyakannya berurusan dalam industri penyiaran berkata mereka membubarkan Jawatankuasa Khas Lembaga Pengarah.

Murdoch menggabungkan pegangannya dalam akhbar seperti New York Post, Wall Street Journal dan akhbar Times di Britain ke dalam News Corp.

Kedua-dua syarikat itu menggantikan firma media massa News Corporation asal Murdoch yang terbahagi kepada dua pada 2013 berikutan skandal intipan perbualan telefon.

Kemungkinan penggabungan semula Fox dan News Corp telah dibincangkan sejak Oktober lepas.

-- BERNAMA