Skip to main content

Malaysia

RUU Akta E-Dagang baharu disasar dimuktamadkan tahun ini - Armizan

KUALA PENYU, 18 Julai -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika berucap pada Pelancaran Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Sekalong Menumbok hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA.   KUALA PENYU, July 18 -- Domestic Trade and Cost of Living Minister Datuk Armizan Mohd Ali delivers his speech at the launch of the MADANI Adopted Village Project at Kampung Sekalong, Menumbok, today.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah meluluskan keputusan dasar untuk memansuhkan Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan menggantikannya dengan akta baharu yang lebih komprehensif. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

BATU KAWAN: Kerajaan menyasarkan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang yang baharu dapat dimuktamadkan untuk dibentangkan di Parlimen, tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah meluluskan keputusan dasar untuk memansuhkan Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan menggantikannya dengan akta baharu yang lebih komprehensif.

Bagaimanapun, katanya, proses itu memerlukan penyelarasan antara kementerian serta sesi libat urus menyeluruh dengan pihak berkepentingan termasuk platform e-dagang, penyedia perkhidmatan dan pemain industri.

"Kita tahu perkara berkaitan e-dagang ini cukup komprehensif dan meluas, jadi ia memerlukan banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan. Kita perlu teliti dan saya berharap rang undang-undang ini dapat dimuktamadkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Pengguna 2026 (Confest 2026) di Stadium Batu Kawan, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Armizan berkata dua jawatankuasa turut ditubuhkan bagi mempercepat proses penggubalan RUU berkenaan, termasuk penyelarasan antara KPDN, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Beliau berkata antara perkara yang sedang dihalusi ialah pembahagian bidang kuasa antara kementerian dengan agensi berkaitan serta mekanisme kawal selia platform e-dagang.

Armizan berkata proses seterusnya turut memerlukan penilaian impak kawal selia (RIA) bersama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebelum RUU itu dibawa untuk pertimbangan selanjutnya.

Beliau berkata antara cadangan yang sedang dikaji ialah pengenalan rejim pelesenan bagi platform e-dagang, khususnya mengambil kira kemasukan barangan dari luar negara, keselamatan pengguna dan kelangsungan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

"Melihat kepada senario semasa, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di luar, ia menyentuh aspek keselamatan pengguna dan survival PMKS kita. Jadi, kita lihat perlu ada kawal selia yang lebih menyeluruh dan kondusif, termasuk kemungkinan rejim pelesenan," katanya.

Bagaimanapun, Armizan berkata kawal selia perlu diseimbangkan agar tidak mengekang pertumbuhan sektor e-dagang yang memberikan kemudahan kepada pengguna serta menjadi sumber pendapatan kepada peniaga.

"Kita mahu kawal selia yang lebih menyeluruh dan kondusif, tetapi pada masa sama tidak mahu mengekang perkembangan e-dagang," katanya.

Kerajaan sebelum ini menyatakan hasrat mempercepat penggubalan RUU E-Dagang bagi memperkemas kawal selia dan pertanggungjawaban platform, penjual serta pengguna, memandangkan Akta Perdagangan Elektronik 2006 tidak menyediakan kerangka perundangan yang komprehensif untuk mengawal selia pelbagai aspek e-dagang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement