Skip to main content

Malaysia

RUU Jenayah Siber 2026 bukan sekadar patuhi konvensyen antarabangsa - MKN

81729245486_TBCYBERSECURITYB.jpg
Menurut MKN, penggubalan RUU itu adalah berdasarkan kepada kesesuaian perundangan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada di Malaysia. - Gambar hiasan
Advertisement

PUTRAJAYA: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 bukan hanya sekadar mematuhi Konvensyen Majlis Eropah Mengenai Jenayah Siber dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Jenayah Siber semata-mata.

Namun ia juga bertujuan untuk memperuntukkan kesalahan jenayah di bawah Bahagian III hingga VI RUU itu serta kesalahan dalam mana-mana undang-undang bertulis lain yang menggunakan sistem komputer, demikian maklum Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MKN, penggubalan RUU itu adalah berdasarkan kepada kesesuaian perundangan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada di Malaysia.

"Penggubalan RUU ini dibuat dengan mengambil kira maklum balas lebih daripada 40 sesi libat urus, bengkel dan mesyuarat bersama dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Konvensyen Majlis Eropah Mengenai Jenayah Siber sejak September 2023.

"Selain itu, MKN melalui Agensi Keselamatan Siber Negara juga telah mengadakan sesi taklimat bagi RUU Jenayah Siber 2026 kepada Jawatankuasa Pilihan Keselamatan dan Jawatankuasa Pilihan Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Parlimen ke-15 pada 25 Feb 2026," maklum MKN.

Menurut kenyataan itu lagi, sesi taklimat juga diadakan kepada Ahli-Ahli Kelab Penyokong Kerajaan MADANI di Parlimen, pada 25 Jun lepas.

"Maklum balas dan cadangan yang diterima telah dinilai dengan teliti dari sudut perundangan, dasar dan pelaksanaan sebelum RUU Jenayah Siber 2026 dibentangkan di Parlimen," menurut kenyataan itu.

Pada 22 Jun, RUU Jenayah Siber 2026 bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, manakala bacaan kali kedua dan ketiga pada 1 Julai ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement