Kenyataan media oleh masyarakat sivil Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-Integriti Governans dan Anti Rasuah:

1. Masyarakat sivil Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia berkenaan Integriti, Governans dan Anti Rasuah (KRPPM–IGAR) mengalu-alukan usaha memastikan ketelusan tinggi dan pengurusan ekonomi yang sistematik melalui Rang Undang- Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (RUU KATF 2023). Rangka kerja perundangan kewangan awam ini merupakan langkah positif yang penting dalam memastikan kestabilan makro-ekonomi Negara.

2. Mensasarkan kedudukan 25 terbaik daripada 180 negara dalam Corruption Perception Index (CPI) menjelang 10 tahun, prinsip-prinsip yang ditekankan di dalam RUU ini diharap memberi haluan perkembangan ekonomi yang akan meningkatkan iklim pelaburan yang mendatangkan hasil berimpak tinggi. Dalam masa yang sama reformasi fiskal tersebut turut harus sentiasa mengutamakan keseimbangan dalam penyediaan sokongan dan bantuan bersasar yang tepat terhadap isu rakyat bagi menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

3. Komitmen kerajaan dalam merangka Strategi Hasil Jangka Sederhana dalam memastikan keberkesanan perbelanjaan awam dan pengurusan hutang dijangka mampu meningkatkan akauntabiliti dan transparensi pengurusan kewangan awam. Ini sekaligus membina kepercayaan awam dan pelabur bahawa kerajaan sedang berusaha mencapai kemampanan fiskal jangka panjang demi kesejahteraan rakyat.

4. Untuk mencapai matlamat dan objektif ini, peraturan dan prosedur yang berkesan harus dilaksanakan demi memastikan bahawa Parlimen mampu memantau dan menyiasat perlaksanaan tanggungjawab kerajaan di bawah RUU KATF 2023, dan turut memastikan maklumat kewangan, ekonomi dan perbelajaan didedahkan kepada umum dengan segera.

4. Sekalipun kerajaan akan mempunyai parameter yang lebih telus dan dikawal oleh perundangan yang lebih sistematik, kerajaan harus terus berhati-hati dalam menyeimbangkan disiplin kewangan yang dirancang dengan kemungkinan kitaran ekonomi yang tidak menentu dalam konteks Malaysia khususnya. Kepatuhan kepada setiap garispanduan dan garis masa yang termaktub di dalam perundangan berkenaan akan mengembalikan kredibiliti dan menjamin pengurusan kewangan berhemah dan produktif kepada Negara.

5. Masyarakat sivil KRPPM – IGAR juga mengingatkan kerajaan bahawa dalam menjamin keberkensanan perundangan ini, libat urus bersama badan professional dan

masyarakat sivil harus dilaksanakan secara berkala sejak awal lagi.Oleh itu, diharapkan bahawa Jawatankuasa Dasar Kewangan atau sub-jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menilai risiko kewangan, hutang, dan tanggugnan akan mempertimbangkan secara serius kerjasama dengan masyarakat sivil serta badan-badan professional untuk merangsang dialog yang sangat diperlukan berkaitan keberkesanan reformasi kewangan Negara. Kumpulan ini sentiasa siap sedia untuk sebarang peluang menjalin kerjasama dengan kerajaan dalam perkara ini.

Kenyataan oleh:

Tan Sri Dr Syed Hamid Albar
Tan Sri Mohamed Nazir Razak
Datuk Hussamuddin Yaacub
Datuk Dr Anis Yusal Yusoff
Shah Hakim Zain
Anas Zubedy
Maha Balakrishnan, Christopher Leong
Dr Edmund Terence Gomez
Nurhayati Nordin #RasuahBusters (Yayasan Sinar Untuk Malaysia) – Sekretariat
Tn Haji Badlishah Sham Baharin (IKRAM)
Dr Muhammad Mohan, Transparency International Malaysia
Dr Tricia Yeoh, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)
Cynthia Gabriel, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4)
Datuk Mohamed Arshad Raji PATRIOT
Tharma Pillai, UNDI 18