Skip to main content

Malaysia

RUU Pendanaan Politik: Tiada bantahan daripada UMNO setakat ini - Azalina

KUALA LUMPUR, 28 Jan -– Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sidang media pada Konvensyen Mengenai Keadilan Jenayah Dan Pembaharuan Undang-Undang, Keadilan Jenayah Dalam Zaman Baharu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut Azalina (foto), cadangan menggubal RUU berkenaan masih berada di peringkat kajian dan memerlukan persetujuan bersama semua parti politik memandangkan mereka merupakan pihak utama yang akan terlibat secara langsung dengan pelaksanaannya. -Gambar fail/Bernama

BANGI: UMNO setakat ini tidak mengemukakan sebarang bantahan rasmi terhadap cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik yang masih berada di peringkat kajian oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihak kerajaan masih belum menerima sebarang maklum balas formal daripada mana-mana parti politik berhubung cadangan tersebut.

“Setakat ini saya tidak mendengar UMNO memberikan bantahan terhadap cadangan pendanaan politik.

"Namun, perkara ini belum dibawa secara rasmi kerana ia memerlukan pandangan formal daripada setiap parti politik,” katanya selepas merasmikan Townhall Kerangka Akauntabiliti MADANI di Akademi Perundangan Negara, di sini, hari ini.

Menurut Azalina, cadangan menggubal RUU berkenaan masih berada di peringkat kajian dan memerlukan persetujuan bersama semua parti politik memandangkan mereka merupakan pihak utama yang akan terlibat secara langsung dengan pelaksanaannya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata beberapa perkara dasar masih belum dipersetujui sepenuhnya, termasuk isu pemberian dana awam kepada parti politik, had jumlah sumbangan serta penentuan badan yang akan bertanggungjawab menyelia pengurusan dana politik.

Tambahnya, bagi UMNO, isu pendanaan politik kerap dibincangkan, namun setakat ini belum dibawa secara rasmi ke Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

Beberapa parti lain pula pernah mengemukakan perkara sama semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Azalina menegaskan, sebarang keputusan muktamad berkaitan RUU Pendanaan Politik hanya akan dibuat selepas memperoleh persetujuan semua parti politik.

Cadangan penggubalan Akta Pendanaan Politik pernah disuarakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, tahun lalu.

Akta khas yang memberi fokus kepada pembiayaan kempen pilihan raya itu dilihat mampu mengawal aktiviti pendanaan politik serta meningkatkan ketelusan, keadilan dan integriti dalam persaingan politik serta sistem demokrasi negara.

 

Must Watch Video