KUALA NERUS: Kerajaan negeri tidak boleh mengganggu bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam hal ehwal undang-undang jalan raya.

Ia susulan pelbagai aduan diterima pihaknya berhubung perjalanan program RXZ Members 5.0 yang diadakan di Litar Pemotoran Gong Badak dekat sini pada Sabtu yang didakwa terganggu akibat sekatan jalan raya yang diadakan di banyak lokasi

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Karim berkata, kerajaan negeri hanya mampu berunding dan memohon pertimbangan istimewa pihak PDRM atau JPJ bagi melancarkan perjalanan program tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan undang-undang tertakluk kepada bidang kuasa PDRM dan JPJ.

"Kami tidak boleh mengganggu bidang kuasa mereka. Selebihnya di bawah bidang kuasa pihak PDRM dan JPJ.

"Sekarang pun kami terus berunding dan meminta pertimbangan.

"Pihak penganjur juga telah memainkan peranan dengan melaksanakan beberapa pertemuan khas bersama pihak berkuasa bagi mendapatkan komen, pandangan dan kerjasama yang sewajarnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Hishamuddin menasihatkan peserta RXZ Members mematuhi peraturan dan menghormati pengguna jalan raya lain bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.

Katanya, peserta RXZ Members perlu memahami objektif asal penganjuran untuk membuktikan bahawa mereka bukan golongan 'mat rempit' tetapi memiliki displin yang tinggi.

"Atas sebarang kesulitan semua pihak, kami dahului dengan permohonan maaf dan semoga himpunan ini menambahkan kenalan dan eratkan hubungan persaudaraan," ujarnya.

Pada Sabtu, beberapa netizen menerusi hantaran di media sosial mempertikai kewajaran PDRM membuat sekatan jalan raya yang banyak sehingga mengganggu kelancaran program RXZ Members 5.0.

Tindakan itu dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada industri pelancongan Terengganu apabila orang luar enggan berkunjung ke negeri ini. - Sinar Harian